Beberapa pasukan dalam saingan Liga Malaysia dikhabarkan berminat untuk mendapatkan khidmat salah seorang jurulatih muda terbaik dalam negara ketika ini iaitu Hairuddin Omar.

Hairuddin atau yang lebih dikenali dengan panggilan Hai-O berjaya membimbing pasukan Terengganu II mara ke perlawanan akhir saingan Piala MFL dan kejayaan ini nyata menarik minat beberapa kelab.

Ada yang mengaitkan Hai-O dengan sebuah kelab dari Selatan tanah air namun bekas penyerang skuad kebangsaan ini menafikan khabar angin itu.

“Memang ada satu dua kelab tanya saya cuma saya tak bagi jawapan sebab nak fokus Piala MFL pada 11 November nanti. Memang kontrak saya akan tamat pada penghujung musim ini.

“Tapi untuk perancangan tahun depan, saya tak rancang lagi sebab nak fokus untuk pentas akhir. Lagipun saya dikhabarkan liga akan bermula bulan April dan ada masa lagi saya nak fikirkan. Lepas final saya akan fikirkan mengenai perkara itu.

“Tiadalah dari Selatan. Tapi adalah yang bertanya, kelab biasa-biasa saja. Kelab yang menyertai Piala MFL dan Liga Super. Cuma saya tak layak lagi untuk Liga Super kerana lesen saya. Saya masih bimbing Piala MFL untuk bantu pemain muda,” katanya dipetik dari laporan Majoriti.

Hai-O turut menegaskan beliau sedia untuk mempertimbangkan sebarang tawaran untuk lanjutan kontrak sekiranya Terengganu masih percaya dengan kemampuannya membawa skuad muda pasukan itu.

Musim lalu, Hairuddin Omar menjadi pembantu kepada Nafuzi Zain dalam skuad senior Terengganu.